Saturday, 11 February 2017

Selamat Hari Lahir Bondaku

Teks : Anys Idayu Zakaria 

 
12 Februari 1958, bonda yang saya panggil Ma, Hjh Na’ima Bin Hj Mat Yaacob dilahirkan. Hari ini genap usia beliau 59 tahun.

Lahir di Pasir Mas Kelantan, membesar di sana dan bertemu jodoh dengan abah juga orang Kelantan. Kerana mengikut abah yang berkhidmat di luar negeri Kelantan, dan akhirnya menetap terus di Johor Bharu membesarkan kami 4 beradik selepas abah bersara dari Angkatan Tentera Darat Malaysia. 

Minat beliau sangat mendalam dalam bidang jahitan, beliau sanggup belajar menjahit ke sana sini walaupun dalam masa yang sama melakukan pelbagai kerja lain seperti mengasuh anak orang, serta mengambil upah menjahit. Apa yang paling saya ingat, kami adik beradik tinggal di rumah kerana beliau keluar belajar menjahit baju melayu lelaki di Kedai Menjahit di Tiram. Sebenarnya bukanlah untuk ambil upah pun, tapi kerana mahu ilmu menjahit baju melayu lelaki dan nak jahit baju melayu untuk abah, dan 2 lagi anak lelaki beliau. Usaha beliau akhirnya memberi hasil. Baju melayu abah tak pernah di tempah di luar. Baju Melayu yang dipakai 2 adik lelaki saya juga untuk majlis akad nikah mereka hasil jahitan Ma. 

Tahun 2000, beliau mula berjinak-jinak mempelajari ilmu mengaji dan mengajar Al Quran, dan mendapat tauliah dari Jabatan Agama Negeri Johor sebagai salah seorang tenaga pengajar. Sehinggalah ke hari ini beliau menjadi salah seorang tenaga pengajar di Pusat Pengajian Qiraati Al Quran di Taman Bukit Tiram. Dalam usaha beliau menyampaikan ilmu Al Quran, beliau memang sangat-sangat menekankan kami 4 beradik dengan pelbagai surah dan selawat untuk amalan seharian.
Walaupun sibuk dengan urusan harian di rumah, dan kelas Al Quran, beliau sendiri tak pernah penat mencurah ilmu dan mencari lagi ilmu tersebut. Setiap hujung minggu ada sahaja kelas-kelas yang diikutinya. Semoga ilmu yang beliau curahkan kepada anak didiknya mendapat mendapat keberkatan dan menjadi amalan mereka.

Inilah insan kesayangan abah, kami 4 beradik, menantu dan cucu-cucu beliau. Mohon rakan-rakan doakan beliau diberi kesihatan yang baik meniti usia kehidupan, dimurahkan rezeki, diberkati segala urusan dan pekerjaan dan mendapatkan keberkatan hidup dunia akhirat.

No comments:

Post a Comment